SIAPA JODOH HARIMAU MALAYA?



KUALA LUMPUR - Tuah undian atau ranjau berduri bakal dilalui oleh Harimau Malaya di pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019? Segala jawapan terhadap persoalan itu akan diketahui pada majlis pengundian rasmi yang bakal berlangsung pada petang ini di salah sebuah hotel terkemuka di ibu negara.

Orang paling resah menanti sudah pasti pengendalinya, Dollah Salleh yang kini pasti berasa sedikit tertekan untuk memenuhi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) ditetapkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) iaitu melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Asia 2019, semenjak dibelasah 6-0 oleh Oman pada aksi persahabatan, 26 Mac lepas.
Melihat kepada dua senario yang kemungkinan boleh berlaku, anak-anak buah Dollah masih boleh berkira-kira berada dalam kumpulan yang boleh memberi cabaran atau bersama pasukan-pasukan yang mungkin meletakkan Harimau Malaya dijadikan lubuk mata oleh skuad lawan.

Satu hakikat yang mungkin masih boleh membuatkan Dollah tersenyum ialah walaupun Malaysia berada dalam Balang 5 iaitu se­narai pasukan ranking paling rendah, mereka masih boleh mengharapkan berdepan lawan yang dianggap setara atau lebih lemah dari segi prestasi seperti Vietnam (balang dua), Afghanistan, Filipina (balang tiga) atau Timor Leste, Bhutan, Singapura dan Indonesia (balang empat) untuk bersama dalam satu kumpulan.
Namun, sekiranya hari ini tuah menjauhi Dollah, jangan terkejut menyaksikan Malaysia bersama mana-mana antara pasukan ini seperti Korea Utara (balang empat) dan Lebanon (balang tiga) yang pasti membuatkan pemain-pemain lemas untuk memberikan saingan.

Dollah ketika ditanya mengenai siapa pasukan yang paling mahu dielakkan, dia tanpa berselindung hanya tidak mahukan Jepun, Korea Selatan atau Australia daripada balang satu kerana menyifatkan pasukan ini berada dalam dunia berlainan dengan Malaysia.

“Jika ditanya kepada pasukan-pasukan yang saya mahu elak, dua pasukan iaitu Jepun dan Korea di balang satu serta Australia yang boleh dikatakan taraf permainan mereka agak berbeza berbanding pasukan Asia lain.

“Dari segi kepantasan dan kawalan bola, pasukan-pasukan ini sememangnya sukar untuk kita tandingi, jadi itu sahaja harapan saya menjelang undian sebenar esok iaitu tidak bersama dengan mana-mana pasukan ini.

“Jepun dan Korea terutamanya mampu beraksi di mana sahaja mereka berada tanpa mengambil kira faktor persekitaran setempat dan andai kata diberi pilihan, saya harap kita mampu ditempatkan bersama pasukan dari Asia Barat dari balang satu,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Dollah juga menjelaskan mengapa dia memilih pasukan dari Asia Barat ialah kerana pemain-pemainnya masih mampu menandingi corak permainan mereka dan yakin mampu mencuri sesuatu terutama beraksi di laman sendiri.

“Bukannya saya bercakap kita memang terjamin boleh kalahkan mereka cuma dari segi permainan, kita masih boleh beri saingan terutamanya kalau bermain di tempat kita kerana kita ada kelebihan faktor cuaca.

“Mengenai sasaran, saya hanya akan bercakap selepas melihat siapa akan menjadi lawan kita dalam kumpulan dan daripada situ, baharu mudah saya memasang strategi,” katanya.

Pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2018 kali ini agak berbeza berbanding edisi lalu kerana Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) akan menggabungkannya bersama kelayakan Piala Asia 2019.
Yemen, Bhutan, Taiwan, Kemboja dan India berjaya melepasi pusingan pertama dalam aksi timbal balik untuk menyertai 32 pasukan lain pada majlis pengundian, hari ini yang menyaksikan 40 pasukan akan dipecahkan kepada lapan kumpulan dengan setiap daripadanya mengandungi lima pasukan.
Hanya juara setiap kumpulan dan empat pasukan terbaik (12 pasukan) daripada lapan kumpulan akan mara ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2018.
Bagi slot Piala Asia 2019, 12 pasukan ini mara automatik ke Piala Asia 2019, manakala selebihnya iaitu empat pasukan lain di tangga kedua kumpulan diikuti tempat ketiga serta keempat (hanya empat terbaik daripada lapan kumpulan) akan beraksi pada pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2019.

Dua lagi slot untuk mencukupkan 24 pasukan dalam aksi pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2019 akan ditentukan melalui aksi play-off antara empat pasukan lain yang tidak berada dalam kalangan empat pasukan terbaik yang berada di tangga keempat kumpulan.
SIAPA JODOH HARIMAU MALAYA? Rating: 4.5 Diposkan Oleh: Pink ponk

Post a Comment