PELUANG 1200 KERJA BAHARU DI SEDENAK



PONTIAN 7 April - Kira-kira 1,200 peluang pekerjaan tersedia dengan beroperasinya kilang pakaian melalui pelaburan sebuah syarikat dari China bernilai RM350 juta di Kawasan Perindustrian Sedenak, dekat sini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong berkata, kilang yang beroperasi sejak tiga bulan lalu itu akan menjadi perintis kepada lebih banyak pelaburan di kawasan tersebut.

Kedudukannya yang terletak di antara daerah Kulaijaya dan Pontian memberikan manfaat kepada penduduk di kawasan tersebut untuk mendapatkan pekerjaan.

“Kawasan Perindustrian Sedenak yang dibangunkan bagi menjana ekonomi kepada masyarakat setempat mempunyai potensi besar untuk berkembang maju pada masa depan.

“Lebuhraya Utara Selatan melalui laluan masuk dan keluar di tol Sedenak akan memudahkan penghantaran ke pelabuhan dan sebagainya. Ia juga memberikan limpahan ekonomi kepada penduduk Pontian di kawasan seperti Ayer Baloi, Sanglang, Api-Api dan Benut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian sumbangan kepada golongan kurang berkemampuan di Masjid Jamek Kampung Api-Api, di sini semalam.

Yang turut hadir, Penghulu Mukim Api-Api, Mohd. Razali Dah­lan dan Ketua Kampung Kawasan (1) Mukim Api-Api, Md. Yusof Yunos.

Siew Kiong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang menambah, pembukaan kawasan industri di luar kawasan tumpuan boleh membantu mengurangkan penghijrahan penduduk ke kawasan bandar.

Selain kawasan tumpuan para pelabur seperti di Senai, Tebrau, Pasir Gudang serta Gelang Patah, kawasan di luar bandar perlu diberikan peluang untuk menikmati agihan ekonomi yang seimbang,” ujarnya.

Menurutnya, lebih banyak pelabur dipelawa untuk membangunkan Kawasan Perindustrian Sedenak yang turut menawarkan pelbagai kemudahan lengkap, manakala golongan muda tempatan juga disaran merebut peluang kerjaya tanpa membiarkannya diisi tenaga kerja asing.


Kredit to Utusan
PELUANG 1200 KERJA BAHARU DI SEDENAK Rating: 4.5 Diposkan Oleh: Unknown

Post a Comment