TIDAK SABAR MAHU BERAKSI



SEPANG - Biarpun berlepas ke London semalam dengan penuh debaran, namun jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei berkata, dia mahu segera menghadiri perbicaraan kerana sudah tidak sabar hendak kembali ke gelanggang.

Chong Wei, 33, yang digantung sementara oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) kerana positif ujian doping akan dibicarakan oleh panel bebas di Amsterdam pada Sabtu ini.

Hukuman maksimum gantung dua tahun antara yang boleh menanti juara All England tiga kali itu, namun dia juga mungkin dikenakan denda yang lebih ringan.

Sebelum berangkat ke London semalam, Chong Wei merayu peminat agar terus menyokong dan memberi semangat kepadanya menjelang sesi pendengaran tersebut.

Kata bekas pemain No. 1 dunia ini, hanya sokongan dan semangat mampu menguatkan diri atau memulihkan kariernya dalam menghadapi sebarang keputusan di Amsterdam itu.

Terima kasih kepada semua peminat (yang setia menyokong) di Facebook. Dengan sokongan anda, saya tidak akan putus asa (menghadapi keputusan sesi pendengaran).

Semakin dekat harinya, saya harap ada keputusan yang baik diperoleh hasil persediaan terbaik dengan para peguam saya di sini dan di London (Mike Morgan). Inilah detik terpenting, ini karier saya dan saya rasa isteri saya (Wong Mew Choo, bekas perseorangan negara) juga faham.

Semoga isu ini dapat diselesaikan secepat mungkin supaya saya boleh kembali ke gelanggang dengan cepat,” katanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang, semalam dengan diiringi Pengurus Besar Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Kenny Goh.

Chong Wei, 33, gagal ujian doping dan didapati positif dexamethasone pada Kejohanan Dunia di Copenhagen, Ogos lalu.

Naib juara Olimpik Beijing 2008 dan London 2012 itu kemudiannya digantung BWF mulai 11 November lalu sementara menantikan kesnya diperdengarkan di Amsterdam.

Sebagai membalas sokongan peminat, dia berjanji akan memberitahu setiap perkembangannya ketika di Amsterdam menerusi Facebook.

Saya sendiri akan cuba mengemaskini status kes ini dalam Facebook saya. Mungkin hari itu juga kita boleh tahu keputusannya atau beberapa hari selepasnya,” katanya.


Kredit to Utusan
TIDAK SABAR MAHU BERAKSI Rating: 4.5 Diposkan Oleh: Unknown

Post a Comment