KUALA LUMPUR – Kelab Liga Perdana Inggeris, Tottenham bakal membawa pasukan terkuatnya untuk menguji Malaysia dalam perlawanan pertunjukan pada 27 Mei ini, diketuai penyerang sensasi England, Harry Kane.
Kane yang terkenal dengan jolokan ‘King Kane’ dalam kalangan peminat Spurs disahkan akan menemui peminat di Malaysia dalam kunjungan kedua kelab London itu ke ibu negara selepas kali pertama pada 1979.
Ketua Pembangunan Perniagaan Tottenham Hotspur, Aidan Mullaly mengesahkan, pasukan itu akan menurun kebelasan terbaik mereka bagi menghadapi Pilihan Malaysia.
“Semua pemain utama Spurs akan beraksi dalam perlawanan itu dan saya berharap kedatangan mereka mampu menarik ramai peminat dari rantau Asia untuk datang memenuhi stadium,” katanya dalam sidang akhbar mengumumkan kehadiran Tottenham di sini, semalam.
Dalam satu kenyataan berasingan, Ketua Jurulatih Tottenham, Mauricio Pochettino berkata, pasukannya tidak sabar untuk bertemu peminat di Malaysia.
“Kami sedar Liga Perdana Inggeris mempunyai pingikut yang ramai di seluruh Asia, malah kami ada kelab penyokong yang ramai di Malaysia.
“Jadi, kami akan menampilkan aksi terbaik dalam perlawanan itu nanti sebagai tanda sokongan mereka kepada kami,” kata Pochettino, 43.
Tottenham kini berada di tangga keenam liga, namun masih berpeluang memburu tempat ke Liga Juara-Juara.
Spurs mempunyai tarikan tersendiri kerana memiliki pemain kelas dunia seperti Christian Eriksen, Hugo Lloris, Jan Vertonghen dan penjaring terbanyak liga ketika ini dengan 19 gol, Kane.
Tiket perlawanan dijual dengan harga serendah RM58 untuk tempat duduk bebas serta RM428 tempat duduk VIP dan RM328 tempat duduk Grand Stand.
Kredit to Utusan
Post a Comment