CHONG WEI CERIA SEBAIK PULANG DARI AMSTERDEM



SEPANG – Sekalipun masa depannya masih menjadi tanda tanya, bekas pemain No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei kelihatan cukup ceria sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Amsterdam, Belanda yang seolah-olah ada perkhabaran gembira menantinya dalam tempoh tiga minggu lagi.

Semua sudah maklum bahawa jaguh badminton negara itu terpaksa mengharungi tempoh selama lapan jam untuk perbicaraan kes kegagalan ujian doping setelah dia didapati positif dexamethasone sewaktu menyertai Kejuaraan Dunia Copenhagen di Denmark, Ogos tahun lalu.

Chong Wei yang diiringi Pengurus Besar Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Kenny Goh dan anggota majlisnya, Jadadish Chandra kelihatan agak ceria dan tenang, berbanding situasi sebelum dia berlepas ke London, Selasa lalu.

Ketika dikerumuni pemberita sejurus tiba di KLIA, Chong Wei berkata, dia berasa lega selepas pendengaran kes dopingnya yang ditunggu-tunggu selama ini sudah berakhir dan berhasrat akan meneruskan latihan seperti biasa mulai hari ini sementara menunggu keputusan tersebut.

Malah, pemain berusia 33 tahun itu sempat berjenaka dengan pemberita sewaktu ditanya tentang harapannya berkaitan pendengaran tersebut.

“Apa yang kamu harapkan? Sudah tentu harapan yang bagus-bagus sahaja.
“Sekarang, pendengaran sudah habis, saya kini lega sikit sebab saya tunggu sudah enam bulan, dan sekarang hanya perlu tunggu tiga minggu saja lagi.

“Saya akan meneruskan latihan dahulu dan tengok keputusan macam mana. Saya rasa esok akan mula latihan,” jawabnya sambil melemparkan senyuman.

Dalam masa sama, Chong Wei mengakui, dia berpuas hati dengan cara peguam berpengalaman, Mike Morgan mengendalikan kesnya dengan baik sekali semasa dalam sesi perbicaraan yang berlangsung di Hotel Sheraton Lapangan Terbang Amsterdam, Belanda di hadapan tiga ahli panel bebas yang dilantik Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

“Saya punya pendengaran su­dah selesai... Saya rasa gembira dengan prestasi peguam. Dia (Mike) melaksanakan perbentangan dengan baik dan jelas.

“Apa-apa pun, kita cuma tunggu tiga minggu saja lagi. Kita tidak boleh komen keputusannya macam mana, kena tengok (hasil) panel,” katanya.
CHONG WEI CERIA SEBAIK PULANG DARI AMSTERDEM Rating: 4.5 Diposkan Oleh: Pink ponk

Post a Comment