HUKUM MELANCAP UNTUK MENGELUARKAN AIR MANI




Ada kalanya darah naluri seks bergelora pada diri seorang pemuda , lalu ia mempermainkan tangannya pada alat kelaminnya,atau melancap untuk mengeluarkan air mani supaya merasa tenang urat sarafnya dan merasa kepuasan dari gelora seks yang membangkitkan syahwatnya, dan perbuatan semacam ini sudah terkenal hari ini dengan nama onani, yang dalam bahasa Arabnya Aadah Sirriyah. 


Perbuatan seperti ini sudah diharamkan oleh ramai dari para ulama mazhab Imam Maliki mengambil dalil haramnya daripada firman Allah ta'ala berikut : 




Maksudnya : "Dan orang-orang yang mereka itu memelihara kemaluannya , kecuali terhadap isteri-isteri mereka , atau hamba sahaya yang dimiliki tangan kanan mereka, maka mereka itu tiadalah tercela. Tetapi , barangsiapa yang mencari kepuasannya dari selain yang demikian , maka mereka itu adalah  orang-orang yang melanggar batas." (Al-Mukminun :5-7) 

Jadi , orang yang melakukan onani atau melancap kelaminnya untuk tujuan melepaskan kepuasan syahwatnya , ialah orang yang mencari kepuasan dari selain yang dibolehkan oleh hukum islam. 

Dan diriwayatkan pula daripada Imam Ahmad bin Hanbal , bahawa  dia menganggap air mani itu adalah barang kelebihannya yang ada di dalam tubuh badan manusia , yang boleh dikeluarkannya dengan injeksi dan sebagainya. Pendapatnya ini telah diperteguh dan disokong oleh Ibnu Hazm. 

Lantaran itu, para Fikh Mazhab Imam Hanbali telah mengharuskan melancap kelamin itu dengan dua sebab : 

1- Kerana bimbang dirinya akan melakukan zina . 
2- Kerana tidak mampu berkahwin. 

Kita boleh memakai pendapat Imam Ahmad ini dalam keadaan-keadaan bergeloranya nafsu syahwat dan kebimbangan tergelincirnya diri ke dalam perkara yang haram, umpamanya pemuda yang sedang belajar di negeri orang, atau yang sedang bekerja di luar negeri , padahal pengaruh yang membangkitkan nafsu sangat banyak dan terpampang di hadapan mukanya, dan keadaan sungguh membimbangkan kerana takut terjatuh ke dalam perbuatan yang keji itu. 

Maka dalam keadaan serupa itu tidaklah kiranya menjadi salah untuk melancap kelaminnya sampai mematikan gelora naluri seksnya itu tetapi dengan syarat jangan sampai dilakukan berlebih-lebihan dan dijadikan suatu perkara yang biasa. 

Dan lebih utama dari itu ialah dengan mengikut petunjuk Rasul yang mulia kepada para pemuda yang tidak mampu berkahwin , iaitu dengan banyak berpuasa . Dengan berpuasa bakal mengurangi keinginan dan mengajar cara-cara bersabar serta memperteguh takwa yang ada di dalam diri dan memperlihatkan diri terhadap larangan Allah ta'ala yang mana disimpulkan oleh sabda beliau yang berbunyi : 

"Hai para pemuda ! barangsiapa di antara kamu yang sudah ada berkemampuan , hendaklah dia berkahwin , kerana perkahwinan itu lebih menjamin menahan pandangan dan lebih kuat membentengi kemaluan!Tetapi barangsiapa yang tidak ada kemampuan (untuk berkahwin), maka hendaklah dia berpuasa, kerana puasa itu menjadi pelindung kepadanya." 
(Riwayat Bukhari) 

Petikan : 

Buku"Halal dan Haram Dalam Islam"
Halaman 277-279
Dr.Yusuf Al-Qardhawi
HUKUM MELANCAP UNTUK MENGELUARKAN AIR MANI Rating: 4.5 Diposkan Oleh: Pink ponk

Post a Comment