LEE CHONG WEI DIBICARAKAN 11 APRIL



KUALA LUMPUR - Kes doping Datuk Lee Chong Wei akhirnya akan dibicarakan pada 11 April depan, hampir lima bulan selepas dia didapati positif dalam ujian yang dilakukan ketika menyertai Kejohanan Dunia November lalu.

Selepas beberapa kali ditangguhkan, kes itu akan dibicarakan di Amsterdam, Belanda di hadapan tiga ahli panel Persekutuan Badminton Dunia (BWF), yang berkemungkinan besar akan didengar oleh Rune Bard Hansen, Prof. Dr. Toni Graf-Baumann dan Finn Mikkelsen.

Timbalan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Za­karia yang mengumum­kan hal itu menjangkakan keputusan perbicaraan bekas pemain No. 1 dunia itu diperoleh pada hari yang sama, atau paling lewat dalam masa tiga hari.

“Proses perbicaraan hanya mengambil ma­sa satu hari dan mungkin memperoleh ke­pu­tusan pada hari yang sama.

“Sekiranya BWF tidak dapat membuat keputusan pada hari tersebut, mereka dijangka memerlukan sekurang-kurangnya satu atau tiga hari untuk memberi jawapan.

“Kes perbicaraan tersebut akan berlangsung selama sehari bermula pada pukul 10 pagi hingga 6 petang. Peguam akan menghantar dokumen pada tarikh tersebut (11 April) dan panel bakal membuat penilaian berdasarkannya,” katanya dalam sidang akhbar khas di sini semalam.

BAM, katanya, menaruh harapan tinggi terhadap Mike Morgan, peguam yang akan mewakili Chong Wei dalam perbicaraan itu.

Katanya, peguam yang berpangkalan di London itu mempunyai rekod baik serta kredibilitinya tidak perlu diragui.

“Kami sudah memberikan sokongan serta bantuan sepenuhnya yang diperlukan oleh Datuk Lee Chong Wei, malah menggunakan khidmat Mike Morgan sebagai peguam BAM bagi menyelesaikan kes ini,” katanya.

Morgan pernah mewaki­li atlet-atlet berprofil ting­gi dan terbabit dalam beberapa kes yang dibawa ke Mahkamah Tinggi, Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS), Persatuan Timbang Tara Amerika Syarikat, Panel Anti-Doping Kebangsaan (United Kingdom) dan Jawatankuasa FIFA.

Peguam itu pernah mewakili bintang tenis Croatia, Marin Cilic dalam perbicaraan di CAS berhubung isu doping pada 2013 dan berjaya mengurangkan hukuman gantung perlawanan yang dikenakan ke atas atlet berkenaan daripada enam bulan kepada empat bulan.

Morgan turut berjaya mengurangkan hukuman gantung yang dijatuhkan ke atas bintang bola sepak Ivory Coast, Kolo Toure yang disabitkan kesalahan doping oleh Persatuan Bola Sepak (FA) England pada 2011 ketika bermain untuk Manchester City.

Norza bagaimanapun memberitahu pihaknya tidak mempunyai gambaran apakah kesan ke atas status beberapa kemenangan Chong Wei dalam Kejohanan Dunia dan beberapa pertandingan selepas itu, sekiranya dia dikenakan hukuman gantung.

“Kami tidak tahu apakah implikasi yang bakal dihadapi, sebab semua itu panel perbicaraan yang akan putuskan. Apa yang mustahak bagi kami adalah mendapatkan keputusan terlebih dahulu,” katanya.

Chong Wei digantung sementara oleh BWF setelah keputusan sampel B dalam ujian doping yang dilakukan di makmal Hospital Universiti Oslo, Norway pada 5 November lepas disahkan positif mengandungi dadah dexamethasone. Dia didapati positif ketika bertanding dalam Kejohanan Dunia di Copenhagen, Denmark pada Ogos tahun lalu.
LEE CHONG WEI DIBICARAKAN 11 APRIL Rating: 4.5 Diposkan Oleh: Unknown

Post a Comment