MANCHESTER – Manchester City telah melabur jutaan pound sejak dibeli oleh jutawan dari Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Mansour pada 2008, namun pelaburan besar itu hanya mampu meletakkan mereka sebagai gergasi bola sepak Liga Perdana, bukan Eropah.
Kekalahan 1-2 kepada Barcelona dalam perlawanan pertama peringkat 16 terbaik Liga Juara-Juara semalam membuktikan anak-anak buah Manuel Pellegrini masih jauh daripada mencapai taraf elit Eropah.
Dua jaringan bekas penyerang Liverpool, Luis Suarez memastikan kemenangan Barcelona di Stadium Etihad, sekali gus menyukarkan tugas City untuk mencari tiket ke suku akhir apabila bertandang ke Camp Nou dalam aksi timbal balik pada 18 Mac ini.
Jurulatih City, Manuel Pellegrini menegaskan, dia tetap berpuas hati dengan cara permainan pasukannya, terutama pada babak kedua.
Namun, pengendali kelahiran Chile itu mengakui, melepaskan jaringan awal kepada lawan adalah punca pasukannya gagal menutup saingan selaku pemenang.
“Saya tetap gembira. Kami menunjukkan permainan yang baik menentang pasukan hebat seperti Barcelona.
“Kami menampilkan dua aksi berbeza pada babak pertama dan kedua. Sebelum jaringan pembukaan diperoleh lawan, perlawanan adalah seimbang, malah kami bermain baik di separuh masa kedua,” ujar Pellegrini.
City menghimpunkan ramai bakat terbaik dunia, tetapi hakikatnya mereka masih kelab ‘kelas kedua’ Eropah kerana tidak pernah melangkah ke suku akhir Liga Juara-Juara.
Hanya keajaiban mampu membantu The Citizens menang di Camp Nou, tiga minggu dari sekarang, namun Pellegrini tetap yakin peluang belum tertutup dan tiada yang mustahil buat pasukannya menumbangkan Barcelona.
Barcelona mendominasi babak pertama dan melakukan hantaran-hantaran cantik dari bahagian tengah, sebelum mencipta peluang menerusi Lionel Messi dan Suarez.
Penjaga gol City, Joe Hart menyelamatkan sedikit maruah mereka dengan menafikan sepakan penalti Messi, manakala Sergio Aguero menyumbat gol tunggal pada minit ke-69. – AGENSI
Post a Comment