DUA PEMANDU MYVI MENGAKU TIDAK BERSALAH



KUALA LUMPUR 8 Mei - Nahas yang meragut nyawa sepasang suami isteri serta bayi mereka yang berusia enam bulan di Lebuhraya Duta-Ulu Klang (DUKE), Sabtu lalu, mengakibatkan dua pemandu kereta Pe­rodua Myvi didakwa di Mahkamah Majistret Trafik di sini hari ini atas tuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian tiga beranak itu.

Juruteknik komputer, Mohamad Fizal Reza Jamauddin, 31, dan Penolong Pengurus restoran, Siti Noor Aini Mohd. Said, 35, masing-masing mengaku tidak bersalah setelah pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Noorul Fhaiez Mohd. Nayan.

Kedua-duanya didakwa memandu secara berbahaya kepada orang awam hingga menyebabkan kematian Fairuz Nizam Husain, 35, dan isterinya, Nova Safitri Azhari, 25, serta bayi mereka, Nur Firuza Annisa di DUKE Kilometer 6.2 arah Ulu Klang ke Jalan Duta di sini pada pukul 1.05 pagi, 2 Mei lalu.

Dalam kejadian itu, Mohamad Fizal Reza yang juga bapa kepada dua anak memandu kereta Myvi bernombor pendaftaran WXE 695 berwarna putih manakala Siti Noor Aini yang merupakan ibu kepada seorang anak, memandu kereta W 5192 F berwarna kuning.

Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda maksimum RM20,000 jika sabit kesalahan.

Siti Noor Aini yang berkaca mata dengan tegas menjawab ‘mengaku tidak bersalah’ manakala Mohamad Fizal Reza pula menjawab ‘saya faham dan tidak mengaku salah’ sebaik sahaja jurubahasa selesai membaca pertuduhan masing-masing.

Kedua-dua tertuduh yang tiba di mahkamah seawal pukul 8.30 pagi kelihatan tenang ketika pertuduhan dibacakan kepada mereka.

Mereka hadir dengan ditemani oleh keluarga dan rakan masing-masing semasa prosiding yang bermula pukul 10.40 pagi dalam mahkamah yang penuh sesak de­ngan orang ramai.

Timbalan Pendakwa Raya, Suhaimi Ibrahim mencadangkan setiap tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin, pasport mereka ditahan dan lesen memandu digantung bermula hari ini sehingga kes tersebut selesai dibicarakan.

Walau bagaimanapun peguam, Hashim Ibrahim yang mewakili Mohamad Fizal Reza dan peguam, S. Prakash yang mewakili Siti Noor Aini membantah dengan alasan jumlah jaminan itu terlalu tinggi dan memohon ikat jamin RM5,000 untuk anak guam masing-masing.

Yang turut hadir ialah peguam, Cantius Leo Camoens yang mewakili keluarga mangsa. Tiada ahli keluarga mangsa kelihatan di mahkamah.

Noorul Fhaiez kemudian menetapkan setiap tertuduh diikat jamin RM9,000 dengan seorang penjamin dan membenarkan permohonan pihak pendakwaan bagi penggantungan lesen dan penyerahan pasport.

Mahkamah turut menetapkan 22 Jun ini untuk sebutan semula kes selain mendengar permohonan pihak pendakwaan agar kedua-dua kes itu dibicarakan secara serentak.

Sementara itu, sewaktu dibawa keluar dari mahkamah, Siti Noor Aini yang digari tangannya menutup muka menggunakan selendang bagi mengelak wajahnya dirakam oleh jurugambar dan jurukamera manakala Mohammad Fizal Reza yang juga digari kelihatan tenang dan tersenyum ke arah jurugambar serta orang awam.

Kedua-duanya dibebaskan selepas membayar wang jaminan masing-masing pada pukul 3 petang.

Dalam kejadian tersebut, Fairuz Nizam dan Nova Safitri serta Nur Firuza Annisa yang dalam perjalanan pulang selepas menghadiri maj­lis perkahwinan di Putrajaya, maut dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan sehingga menyebabkan ketiga-tiga mangsa tercampak keluar dari kenderaan mereka.

Peristiwa kemalangan tersebut mendapat perhatian rakyat seluruh negara apabila kes itu dikaitkan dengan tindakan beberapa pemandu Myvi yang didakwa berlumba sesama mereka pada malam kejadian.

Pelbagai pihak terutama pengguna laman sosial mendesak pihak berkuasa bertindak tegas terhadap pemandu-pemandu Myvi itu selain mengutuk tindakan sebuah kelab pemilik Myvi yang mempertahankan pemandu Myvi yang terlibat.

Pasangan suami isteri itu mempunyai dua lagi anak perempuan, Nur Firuza Amira, 7, dan adik­nya, Nur Firuza Aqila, 4, yang tidak bersama-sama mereka semasa kejadian.

Kredit to utusan
DUA PEMANDU MYVI MENGAKU TIDAK BERSALAH Rating: 4.5 Diposkan Oleh: Pink ponk

Post a Comment